Masyarakat membaca merujuk kepada masyarakat yang dapat membudayakan serta menjadikan amalan membaca sebagai tabiat harian yang dapat menjana peningkatan ilmu dalam diri masing-masing.
Dalam membina masyarakat membaca peranan Ibu bapa merupakan teras yang menjadi faktor terpenting dalam menjana kewujudan masyarakat membaca. Ibu bapa perlulah memainkan peranan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka sejak mereka masih kecil lagi. Dengan memupuk minat membaca yang mendalam terhadap anak-anak mereka secara tidak langsung akan melahirkan generasi masa depan yang cintakan ilmu dan suka membaca.
Selain daripada itu, ibu bapa juga perlulah berperanan sebagai role-model kepada anak-anak di mana mereka seharusnya mempunyai minat yang tinggi untuk mempamerkan sifat suka membaca dalam diri masing-masing. Anak-anak perlulah dibiasakan dengan aktiviti membaca begitu juga dengan kedua ibu bapanya.
Ibu bapa juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi menyokong tabiat membaca dalam keluarga masing-masing. Kesediaan ibu bapa membawa anak-anak ke kedai-kedai buku dan membeli buku-buku yang bermanfaat untuk anak-anak mereka juga sebenarnya membawa kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.Prasarana yang mencukupi seperti menyediakan perpustakaan mini di rumah masing-masing juga boleh mempengaruhi anak-anak mencintai ilmu dan suka membaca
Oleh itu dapatlah dianggap bahawa peranan ibu bapa dalam sesebuah keluarga yang menjadi entiti kecil masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam mewujudkan masyarakat membaca pada masa hadapan.
Faktor kedua dalam membina masyarakat membaca ialah pihak sekolah. Di sini pihak sekolah boleh berperanan menjadi pemangkin kepada budaya melahirkan minat membaca dalam kalangan pelajar-pelajarnya dengan menyediakan sebuah pusat sumber yang lengkap dan mesra pelajar. Perpustakaan di sekolah mestilah menjadi tempat tumpuan pelajar dengan disediakan segala kemudahan sama ada buku-buku atau kaedah pinjaman buku yang fleksibel dan mesra pelajar. Segala maklumat dan buku-buku terkini perlu sentiasa disediakan di perpustakaan sekolah . Ini secara tidak langsung akan menarik minat pelajar untuk membaca.
Seterusnya, pihak sekolah juga boleh menganjurkan beberapa program bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Antara program-program yang biasanya dipraktikan di sekolah seperti Program Nilam, Minggu Membaca, Resensi Buku dan sebagainya merupakan antara kaedah yang berkesan dalam memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah. Pemberian anugerah kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam program –program tersebut juga memberi kesan yang baik kepada kewujudan masyarakat membaca di negara kita.
Peranan guru juga memberi impak yang besar sebagai pencetus kepada melahirkan masyarakat membaca di negara kita. Guru sebagai sumber pemyampai ilmu perlulah mempunyai tabiat suka membaca dan suka mencari ilmu. Konsep belajar sepanjang hayat perlu menjadi teras kepada setiap individu yang bergelar guru. Sikap guru yang baik ini bukan sahaja akan menjadi ikutan para pelajarnya tetapi juga mampu mencetuskan minat membaca dalam kalangan para pelajarnya.
Pihak kerajaan juga memainkan peranan dalam mewujudkan masyarakat membaca. Pengecualian cukai pendapatan ke atas pembelian buku-buku ilmiah bukan sahaja merangsang minat membaca dalam kalangan masyarakat tetapi juga menjadikan industri penerbitan buku berkembang pesat dan maju pada masa hadapan. Ganjaran rebet tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi tabiat masyarakat membeli buku-buku .
Selain daripada itu pengecualian cukai keatas semua elemen yang berkaitan dengan penerbitan buku juga akan mempengaruhi harga buku di pasaran. Dengan adanya pegecualian cukai oleh kerajaan sudah pasti harga buku akan menjadi lebih murah dan ini akan menjadikan masyarakat lebih gemar untuk membeli , memiliki dan membaca buku.
Peranan iklan dalam mempromosikan dan melariskan sesuatu barang memang tidak dapat dinafikan lagi, Oleh itu dalam mewujudkan masyarakat membaca ini peranan media massa dan media elektronik amat penting di beri pertimbangan oleh kerajaan. Kerajaan melalui kementerian-kementerian tertentu perlu mengunakan iklan yang berkesan dalam mempromosikan tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat. Iklan yang baik dan berkesan bukan saja suka dipandang tetapi juga boleh memberi kesan yang mendalam dalam diri masyarakat.
Apabila kita dapat melahirkan generasi atau masyarakat membaca di negara kita maka secara tidak langsung ianya dapat memberi impak baik kepada penjanaan pembangunan negara. Dalam kata lain proses pembangunan negara dapat berjalan dengan lancar kerana semua rakyat mempunyai ilmu yang tinggi hasil daripada amalan suka membaca ini. Segala dasar-dasar negara dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan hasil daripada wujudnya masyarakat membaca yang berilmu tinggi.
Selain daripada itu pengaliran keluar wang negara akibat daripada penggunaan tenaga kerja mahir yang diupah juga akan berkurangan disebabkan kepakaran tersebut terdapat dalam kalangan masyarakat kita sendiri.
Dapatlah dikatakan bahawa dalam mewujudkan masyarakat membaca semua pihak harus memainkan peranan masing-masing kerana dengan adanya masyarakat yang berilmu maka matlamat untuk mencapai Wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dapat direalisasikan.
0 comments:
Post a Comment