BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 17, 2010

ilmukan membaca~


Menuntut ilmu bagai seseorang individu amat penting. Tanpa ilmu, kita tidak boleh meneruskan kehidupan harian. Seolah-olah kita berada dalam kegelapan. Manusia akan menjadi kurang pandai tanpa ilmu. Ada hadith menyatakan, "Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas seorang muslim." Dengan ilmu, kita boleh membezakan mana baik dan buruk.

Ilmu dapat menyelamatkan sesebuah komuniti dan negara. Contohnya, sekiranya kita buta huruf, bagaimana untuk membaca, memahami dan menandatangani sesuatu perjanjian atau kontak? Silap-silap, jual negara sendiri kepada orang asing. Tidakkah anda rasa begitu? Lagipun, ilmu penting untuk kehidupan di alam barzakh.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila anak Adam meninggal dunia terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang solehh yang sentiasa mendoa'kannya."
(Riwayat Tarmidzi)

faedah membaca~


Banyak bahan bacaan yang terdapat di pasaran. Antaranya ialah majalah, buku, dan surat khabar. Kita akan memperoleh banyak manfaat menerusi aktiviti membaca.

Antara faedah membaca ialah dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan yang kita perolehi pula meliputi pelbagai bidang seperti bidang bahasa, sejarah, agama, dan sains. Malah, pengetahuan itu boleh kita gunakan dalam pembelajaran di kelas.

Membaca juga boleh meningkatkan kita dalam berbahasa. Apabila kita membaca, kita akan menemui kosa kata baru. Kita boleh mencari makna kosa kata itu dengan merujuk kamus atau sebagainya.

Selain itu, kita juga akan memperoleh hiburan menerusi aktiviti membaca. Katakanlah kita membaca sebuah buku cerita. Cerita yang disampaikan itu boleh menimbulkan keseronokan dalam jiwa kita. Apabila diri kita telah terhibur, minda kita juga akan menjadi lega.

Berdasarkan keterangan yang diberi, jelaslah kepada kita bahawa banyak faedah yang kita peroleh daripada membaca. Oleh itu, saya menyeru orang ramai agar memanfaatkan masa dengan membaca.

membacakah kita?


Budaya Membaca Di Kalangan Pelajar Kolej Komuniti
Dan Hubungannya Dengan Prestasi Akademik

oleh
Hanimah binti Masbot @ Masbor
Penyelia : Tuan Haji Mohd. Yusop bin Abd. Hadi

Membaca adalah sangat penting dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan
seseorang. Bagi para pelajar Kolej Komuniti khasnya, mereka memerlukan lebih banyak membaca kerana sistem pembelajarannya yang menggunakan kaedah modul. Kajian berkonsepkan tinjauan ini dijalankan sepenuhnya di dua buah
Kolej Komuniti yang terletak di Negeri Sembilan iaitu Kolej Komuniti Jempol
dan Kolej Komuniti Jelebu. Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti
budaya membaca di kalangan pelajar, faktor-faktor luaran yang mempengaruhi
budaya membaca di kalangan pelajar, persepsi pelajar terhadap kepentingan
membaca dalam proses pembelajaran serta hubungan di antara budaya membaca
pelajar dengan prestasi akademik mereka. Seramai 181 orang pelajar daripada
kedua-dua buah kolej dijadikan sebagai responden kajian. Dengan menggunakan
borang soal selidik sebagai instrumen kajian, data-data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS versi 11.5 melalui kaedah statistik deskriptif dan kaedah statistik inferensi melalui analisis korelasi Spearman.

Dapatan
kajian menunjukkan bahawa budaya membaca di kalangan pelajar Kolej Komuniti adalah berada di tahap sederhana iaitu dengan skor min 3.17. Ini
disebabkan oleh kurangnya minat, amalan serta kemahiran pelajar terhadap
aktiviti membaca. Hasil kajian juga mendapati pensyarah adalah faktor yang paling mempengaruhi budaya membaca pelajar dengan min 3.66 diikuti dengan
persekitaran kolej, ibu bapa dan rakan sebaya. Kebanyakan pelajar mempunyai
pandangan yang baik dan positif terhadap kepentingan membaca dalam proses
pembelajaran. Di samping itu, dapatan bagi hipotesis menunjukkan terdapatnya
hubungan yang signifikan secara statistik di antara budaya membaca pelajar
dengan prestasi akademik pelajar di mana nilai pekali kolerasi r yang diperolehi
adalah 0.438.

bagaimana wujudkan budaya membaca...


Masyarakat membaca merujuk kepada masyarakat yang dapat membudayakan serta menjadikan amalan membaca sebagai tabiat harian yang dapat menjana peningkatan ilmu dalam diri masing-masing.

Dalam membina masyarakat membaca peranan Ibu bapa merupakan teras yang menjadi faktor terpenting dalam menjana kewujudan masyarakat membaca. Ibu bapa perlulah memainkan peranan untuk menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka sejak mereka masih kecil lagi. Dengan memupuk minat membaca yang mendalam terhadap anak-anak mereka secara tidak langsung akan melahirkan generasi masa depan yang cintakan ilmu dan suka membaca.
Selain daripada itu, ibu bapa juga perlulah berperanan sebagai role-model kepada anak-anak di mana mereka seharusnya mempunyai minat yang tinggi untuk mempamerkan sifat suka membaca dalam diri masing-masing. Anak-anak perlulah dibiasakan dengan aktiviti membaca begitu juga dengan kedua ibu bapanya.
Ibu bapa juga perlu menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi menyokong tabiat membaca dalam keluarga masing-masing. Kesediaan ibu bapa membawa anak-anak ke kedai-kedai buku dan membeli buku-buku yang bermanfaat untuk anak-anak mereka juga sebenarnya membawa kepada mewujudkan budaya suka membaca dalam kalangan ahli keluarganya.Prasarana yang mencukupi seperti menyediakan perpustakaan mini di rumah masing-masing juga boleh mempengaruhi anak-anak mencintai ilmu dan suka membaca
Oleh itu dapatlah dianggap bahawa peranan ibu bapa dalam sesebuah keluarga yang menjadi entiti kecil masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam mewujudkan masyarakat membaca pada masa hadapan.
Faktor kedua dalam membina masyarakat membaca ialah pihak sekolah. Di sini pihak sekolah boleh berperanan menjadi pemangkin kepada budaya melahirkan minat membaca dalam kalangan pelajar-pelajarnya dengan menyediakan sebuah pusat sumber yang lengkap dan mesra pelajar. Perpustakaan di sekolah mestilah menjadi tempat tumpuan pelajar dengan disediakan segala kemudahan sama ada buku-buku atau kaedah pinjaman buku yang fleksibel dan mesra pelajar. Segala maklumat dan buku-buku terkini perlu sentiasa disediakan di perpustakaan sekolah . Ini secara tidak langsung akan menarik minat pelajar untuk membaca.
Seterusnya, pihak sekolah juga boleh menganjurkan beberapa program bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Antara program-program yang biasanya dipraktikan di sekolah seperti Program Nilam, Minggu Membaca, Resensi Buku dan sebagainya merupakan antara kaedah yang berkesan dalam memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sekolah. Pemberian anugerah kepada pelajar-pelajar yang terlibat dalam program –program tersebut juga memberi kesan yang baik kepada kewujudan masyarakat membaca di negara kita.
Peranan guru juga memberi impak yang besar sebagai pencetus kepada melahirkan masyarakat membaca di negara kita. Guru sebagai sumber pemyampai ilmu perlulah mempunyai tabiat suka membaca dan suka mencari ilmu. Konsep belajar sepanjang hayat perlu menjadi teras kepada setiap individu yang bergelar guru. Sikap guru yang baik ini bukan sahaja akan menjadi ikutan para pelajarnya tetapi juga mampu mencetuskan minat membaca dalam kalangan para pelajarnya.
Pihak kerajaan juga memainkan peranan dalam mewujudkan masyarakat membaca. Pengecualian cukai pendapatan ke atas pembelian buku-buku ilmiah bukan sahaja merangsang minat membaca dalam kalangan masyarakat tetapi juga menjadikan industri penerbitan buku berkembang pesat dan maju pada masa hadapan. Ganjaran rebet tersebut sedikit sebanyak mempengaruhi tabiat masyarakat membeli buku-buku .
Selain daripada itu pengecualian cukai keatas semua elemen yang berkaitan dengan penerbitan buku juga akan mempengaruhi harga buku di pasaran. Dengan adanya pegecualian cukai oleh kerajaan sudah pasti harga buku akan menjadi lebih murah dan ini akan menjadikan masyarakat lebih gemar untuk membeli , memiliki dan membaca buku.
Peranan iklan dalam mempromosikan dan melariskan sesuatu barang memang tidak dapat dinafikan lagi, Oleh itu dalam mewujudkan masyarakat membaca ini peranan media massa dan media elektronik amat penting di beri pertimbangan oleh kerajaan. Kerajaan melalui kementerian-kementerian tertentu perlu mengunakan iklan yang berkesan dalam mempromosikan tabiat suka membaca dalam kalangan rakyat. Iklan yang baik dan berkesan bukan saja suka dipandang tetapi juga boleh memberi kesan yang mendalam dalam diri masyarakat.
Apabila kita dapat melahirkan generasi atau masyarakat membaca di negara kita maka secara tidak langsung ianya dapat memberi impak baik kepada penjanaan pembangunan negara. Dalam kata lain proses pembangunan negara dapat berjalan dengan lancar kerana semua rakyat mempunyai ilmu yang tinggi hasil daripada amalan suka membaca ini. Segala dasar-dasar negara dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan hasil daripada wujudnya masyarakat membaca yang berilmu tinggi.
Selain daripada itu pengaliran keluar wang negara akibat daripada penggunaan tenaga kerja mahir yang diupah juga akan berkurangan disebabkan kepakaran tersebut terdapat dalam kalangan masyarakat kita sendiri.
Dapatlah dikatakan bahawa dalam mewujudkan masyarakat membaca semua pihak harus memainkan peranan masing-masing kerana dengan adanya masyarakat yang berilmu maka matlamat untuk mencapai Wawasan 2020 yang ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dapat direalisasikan.

budaya membaca??


Amizax's Weblog – Menjana Pemikiran Ilmiah

August 28, 2008

Budaya Membaca – Harapan atau Impian?

Filed under: Budaya Ilmu,Kerjaya — amizax @ 2:32 pm
Tags: ,

Kesedaran tentang pentingnya “Budaya Membaca” sebagai satu agenda negara berikutan dengan pendedahan satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 1983, oleh ahli akademik dari universiti tempatan di bawah pimpinan Prof Atan Long dari Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah (kajian secara umum). Kemudahan perpustakaan tidak digunakan dengan baik. Alasan yang diberikan apabila ditanya mengapa tidak membaca buku ialah tidak ada masa (59 peratus), kerja lain lebih penting (11 peratus) dan sukar mendapat buku (7 peratus) di bandar dan (10 peratus) di luar bandar. Dalam satu kajian lain yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi pada tahun 2002 mendapati, rakyat Malaysia membaca secara purata dua (2) buah buku setahun. Kajian itu juga mendapati jenis bahan yang diakses berbentuk bacaan ringan seperti surat khabar (79%), buku (52%), majalah (47%) dan komik (32%).

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program Galakan Membaca atau lebih dikenali dengan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca). Program Nilam ini diberi penekanan dengan melalui arahan rasmi Surat-surat Pekeliling Ikhtisas seperti Bil 13/1998 – 22 Mei 1998, Bil. 10/2000 – 20 April 2000, Bil. 12/2001 – 19 November 2001, dan Bil.1/2005 – 4 Julai 2005. Semua sekolah melalui Pusat Sumber Sekolah diarah melaksanakan program tersebut hinggalah ke hari ini, dengan hasrat untuk memupuk budaya membaca di sekolah.

Pelbagai penulisan, kajian, kertas kerja dan seminar dilaksanakan bagi mencari jalan untuk merealisasikan hasrat ini. Realitinya di sekolah-sekolah, tahap pembacaan pelajar amat rendah. Mereka “dibelenggu” dengan pembacaan buku-buku teks mata pelajaran semata-mata, selain akhbar dan majalah terutama majalah hiburan semata-mata.

Untuk sesebuah bangsa maju kehadapan, ilmu perlu menjadi agenda utama. Kepentingan ilmu ini digarap melalui gagasan idea YAB Datuk Seri Abdullah Badawi, dengan memperkenalkan konsep Modal Insan, walaupun konsep ini telah lama diperkenalkan dibarat. Kemudian digilapkan lagi dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Buku dan pembacaan perlu sentiasa dijadikan agenda utama sesebuah bangsa secara umumnya dan di sekolah khususnya. Ia tidak boleh diperlekehkan sehingga ada persepsi di dalam masyarakat yang memandang buku dan pembacaannya dari pandangan negatif. (Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim, Utusan Malaysia 25 Ogos 2008, hal. 13).

Untuk menjayakan gerakan membaca, semua pihak perlu bersatu dan memainkan peranan masing-masing. Bermula dari rumah, peranan media massa, masyarakat setempat, guru dan persekitaran sehinggalah pemimpin-pemimpin negara.

Rafe Esquith, seorang guru yang telah dianugerahkan Walt Disney American Teacher Award untuk National Teacher of the Year (1992), melalui bukunya “You`ve Got to Read This Book! menyatakan kepercayaannya bahawa tingkah laku pembacaan di kalangan pelajarnya dipupuk melalui tingkah laku pembacaan guru-guru di sekolah. Ini menunjukkan, kalau kita mahu pelajar banyak membaca, guru-guru juga perlu banyak membaca dan diperlihatkan secara terang dan diberikan pengiktirafan. Apa yang berlaku kini, kebanyakan guru membaca hanya untuk persediaan menduduki peperiksaan PTK sahaja.

Guru-guru yang terbabit secara langsung dengan program galakan membaca ini (Guru Perpustakaan dan Media dan Guru-guru Pusat Sumber Sekolah) tidak diberikan pengiktirafan, jauh sekali dari diberikan kenaikan pangkat, walhal merekalah antara guru-guru di sekolah yang banyak membaca dan merekalah juga yang bertungkus-lumus membina tabiat membaca di kalangan pelajar di sekolah. Sumbangan mereka ini tidak pernah diiktiraf oleh pihak sekolah atau pihak kementerian. Sekiranya perjawatan lain boleh diwujudkan seperti Guru Kanan Mata Pelajaran, Guru Penolong Kanan, tetapi tidak ada pun untuk jawatan yang hampir serupa untuk guru-guru PSS. Walhal tugas-tugas yang dipikul oleh guru-guru ini jauh lebih berat.